Saturday, 19 May 2012

Nazmi serasi bersama Beira-Mar

Tempoh singkat berada di Portugal tidak memberi masalah buat pemain muda negara, Muhamad Nazmi Faiz Mansor untuk menyesuaikan diri pada sesi latihan bersama kelab SC Beira-Mar kelmarin.

Biarpun hanya tiba di Portugal Isnin lalu untuk menjalani ujian percubaan selama seminggu dengan kelab Liga Divisyen Satu itu, pemain berusia 17 tahun itu mengaku cukup teruja merasai pengalaman baru berlatih dengan skuad utama Beira-Mar.

“ Saya sudah menjalani latihan selama beberapa hari dan diberi peluang berlatih bersama pemain utama kelab ini. Walaupun corak latihan berbeza tapi ia tidak memberi masalah kepada saya.

“ Ia pengalaman hebat dengan stadium besar dan berlatih bersama pemain yang bagus. Setakat ini saya masih menjalani latihan biasa mungkin petang ini atau esok (hari ini) saya akan diuji dalam perlawanan persahabatan,” katanya ketika dihubungi di Portugal.

Nazmi pemain Harimau Muda A ditawar peluang menjalani ujian percubaan selepas aksinya dalam Liga Singapura musim ini serta ketika bersama skuad Olimpik negara pada kempen kelayakan Olimpik berjaya menambat hati ejen pencari bakat, Marco Guimaraes.

Dia yang ditemani ayahnya, Mansor Mustapha bakal ditawar kontrak profesional menyarung jersi Beira-Mar andai berjaya melepasi ujian itu.

Menurut Nazmi, dia akan memberikan aksi terbaik pada baki sesi pemilihan selepas ini bagi memastikan misinya untuk mengembangkan karier di Eropah terlaksana.

“ Saya mendapat reaksi positif di sini, jurulatih juga sering berinteraksi dengan saya. Saya harap dapat mendapat keputusan baik di sini,” katanya. - myMetro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...