Monday, 8 August 2011
Perak FA umum tiga pemain pinjaman
Perak akhirnya mengumumkan secara rasmi tiga pemain pinjaman yang bakal beraksi bersama skuad Kejor Yob Kejor itu dalam saingan Piala Malaysia, September depan.
Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, semua pemain berkenaan dipilih berdasarkan prestasi yang memberangsangkan sepanjang tempoh sesi pemilihan yang dibuat mulai akhir bulan lalu.
Menurutnya, mewakili Perak, semua pemain itu jugamula menjalani latihan bersama pemain lain di bawah kendalian ketua jurulatih, Norizan Bakar sejak beberapa hari lalu.
“Pada hari ini kita mengesahkan bakal menggunakan khidmat pemain Perlis, Mohd Hafiszuan Sallehuddin di bahagian pertahanan; pemain Universiti Sains Malaysia (USM) FC, Mohd Failee Mohamad Ghazali (penyerang); dan pemain Harimau Muda, Muhammad Rafiuddin Rodin (tengah, kiri),” katanya kepada pemberita di Pejabat Pafa, semalam.
Hadir sama, Setiausaha Kehormat Pafa, Abdul Aziz Yeop Jamaluddin dan Pengurus skuad Kejor Yob Kejor itu, Khairul Azwan Harun.
Zainol berkata, ketiga-tiga pemain berkenaan, sudah pun menjalani latihan sehingga ke hari ini.
Menurutnya, pihaknya tiada masa untuk berehat kerana bakal mengharungi perlawanan pertama Piala Malaysia, menentang Sabah, di Stadium Likas pada 6 September depan malah, pelepasan cuti hari raya kepada pemain juga mungkin hanya sehari dua sahaja.
“Oleh itu, kita bakal mula berlatih pada hari ketiga hari raya kelak kerana perlu bertolak awal ke sana.
“Setelah itu kita juga perlu bersedia bagi menentang Johor pada 10 September di Stadium Perak pula dan berharap semua pemain dapat membantu memantapkan kembali pasukan kita dalam saingan Piala Malaysia kelak,” katanya.
Terdahulu Zainol Fadzi berkata, beberapa perlawanan persahabatan juga sedang disusun pihak pengurusan dan antaranya menentang skuad Selangor.
Katanya, beberapa perlawanan di peringkat dalaman juga sedang diatur dalam usaha membentuk keserasian mantap dalam kalangan pemain.
“Berdasarkan undian, kita dalam kumpulan yang agak susah kerana rekod pertemuan kita dengan Kedah dan Sabah agak seimbang; ada kalah, ada seri.
“Bagaimanapun, bagi saya undian ini juga diharap dapat memberi motivasi tersendiri kepada pemain untuk memberikan yang terbaik kerana kita masih belum pernah menang dengan mana-mana pasukan berkenaan,” katanya.
sumber : Sinar Harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment