KUALA LUMPUR, 28 OKT 2011: Selepas kejayaan filem Magika, pengarahnya, Edry Abdul Halim enggan mendiamkan diri dan memilih untuk mencuba sesuatu yang baru.
Lantas filem 3D stereoskopik berjudul 29 Februari tampil mengetengahkan idea kreativiti barunya dan sekaligus mengangkat karya keduanya itu sebagai yang pertama di negara ini menggunakan teknologi berkenaan.
"Filem ini menampilkan teknologi 3D stereoskopik dan merupakan yang pertama di negara ini menggunakan teknologi tersebut. Ia dihasilkan sebagai tanggungjawab kami kepada industri seni dan bukanlah sebuah hiburan kosong sahaja. Saya bangga dapat menghasilkan filem ini," katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran filem berkenaan di Stadium Merdeka, beberapa hari yang lalu.
Dibintangi oleh Remy Ishak dan Jojo Goh selaku pendukung utama, jelas Edry filem berkenaan mengangkat sebuah kisah cinta yang terhalang dek keluarga berikutan berlainan agama.
Namun yang menariknya mengenai filem tersebut ialah ia mengetengah elemen cinta, muzikal dan epik dalam satu pakej.
"Filem ini mengangkat kisah seorang lelaki bernama Budi yang dilahirkan pada tahun lompat iaitu pada 29 Februari. Perkembangan kehidupannya lebih perlahan berbanding orang lain kerana empat tahun orang biasa bersamaan setahun untuk lelaki itu.
"Dari situ bermulalah pelbagai kisah yang dilaluinya dan salah satu tentunya kisah cintanya terhadap gadis cina bernama Lily. Kelebihannya pada filem ini ialah suntikan muzikalnya serta pada masa yang sama kupasan sejarah kehidupan bermula pada zaman 1896 antaranya perang Jepun dan peristiwa 13 Mei ," ucapnya.
Tambah Edry lagi, penonton juga akan dapat melihat antaranya peristiwa 13 Mei dan perang Jepun yang turut diselitkan dalam filem berkenaan.
Dengan berbajetkan RM 3.5 juta, kata Edry antara cabaran yang dilaluinya dalam menyiapkan filem ini ialah ketepatan fakta sejarah serta ketelitian dalam penghasilannya menggunakan elemen 3D itu sendiri.
"Cabaran utama saya tentunya dari segi fakta sejarah, yang mana tak boleh salah dan tak boleh nak songsangkan sejarah. Sebagai contoh babak 13 Mei dan perang Jepun itu merupakan satu fakta jadi kita tak boleh tipu. Saya tak boleh nak putar belit sejarah.
"Selain itu juga, menerusi penggunaan teknologi 3D ini semuanya perlu diteliti kerana ianya nampak detail. Bayangkan kita menggunakan 3D untuk mempamerkan emosi dan ia bukanlah satu tugas yang mudah," katanya filem tersebut bakal ditayangkan pada 30 Ogos tahun hadapan.
Sumber : Murai.com
No comments:
Post a Comment