Tuesday 19 June 2012

Gol berharga dari dua pemain gantian


Pemain gantian menjadi penyelamat Perak apabila mengalahkan Felda United 2-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh malam semalam.
Penyerang lincah, Mohd Shafiq Jamal yang menggantikan Akmal Rizal Ahmad Rakhli menyamakan kedudukan menjadi 1-1 pada minit ke-76.
Shafiq yang menerima hantaran daripada Albert Bodjongo menguis masuk bola ke dalam jaring Felda United mengelirukan penjaga gol, Md Hamsani Ahmad.
Selepas itu, seorang lagi pemain gantian, Mohd Fazrul Hazli menyumbatkan gol kedua bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Perak.
Fazrul yang menerima hantaran daripada Bodjongo terus merembat deras menumpaskan Hamsani pada minit ke-84.
Sebelum itu, pintu gol Perak berjaya dirobek oleh Ahmad Fakri Saarani selepas perlawanan bermula 34 saat bagi gol tunggal Felda United.
Gol yang dijaringkan oleh Ahmad Fakri membuatkan pemain, pegawai dan penyokong Perak terkedu sebelum bangkit semula pada separuh masa kedua.
Pengurus Pasukan, Khairul Azwan Harun berkata, beliau meminta para pemain supaya kembali fokus bagi mendapatkan gol kemenangan.
“Saya meminta mereka bermain bersungguh-sungguh supaya tidak menghampakan para penyokong,” jelas Azwan.
Beliau meminta para pemain berbuat demikian semasa berjumpa dengan semua pemain di bilik persalinan semasa berhenti rehat.
Beliau bersyukur kerana semua pemain telah bekerja keras bagi mendapatkan kemenangan tersebut agar kedudukan Perak dalam saingan liga tidak terjunam.
Kemenangan tersebut meletakkan Perak di tangga keempat dengan mengumpul 33 mata selepas beraksi 20 perlawanan.
Lions XII masih mendahului pasukan lain apabila mencatat kemenangan tipis mengalahkan Terengganu 1-0 seterusnya mengumpul 50 mata.
Kelantan merapatkan kedudukannya dengan Lions XII setelah menumpaskan Kuala Lumpur 1-0 bagi mengutip 44 mata.
Selangor yang membelasah T-Team 5-0 berada di tangga ketiga dengan mengumpul 33 mata selepas 20 perlawanan.

credit to : Perak FA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...