Insurans Menurut Pandangan Islam
Mengikut fakta pada 15 Jun 1972 , Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia telah memutuskan bahawa insurans (konvensional) itu haram kerana terdapat perkara-perkara yang tidak selari dengan ajaran Islam atau pun terlibat dengan perkara yang Islam larang. Kemusykilannya di sini, kenapa maklumat atau fatwa nih tak sampai kepada masyarakat sedangkan fatwa telah pun diputuskan? Itu mungkin urusan JAKIM dan Majlis Fatwa.
Punca Pengharaman
Insurans konvensional diputuskan haram atas 3 sebab:
- Gharar – Ketidakpastian
- Maisir Judi
- Riba
Gharar (Ketidakpastian)
Dalam Islam sesuatu kontrak jual beli mestilah atas perkara yang jelas dan pasti. Sebagai contoh Ahmad ingin membeli lembu daripada Ali. Ali menyatakan lembu yang Ahmad ingin beli ada di dalam sekumpulan lembu tanpa menunjukkan secara khusus lembu yang ingin dijual kat Ahmad. Lembu yang gemuk ke, kurus ke, kecik ke, tak tau. Jika Ahmad membayar juga duit untuk membeli lembu itu (maka dalam Islam), kontrak atau akad jual beli tidak sah dan haram sebab terdapat unsur gharar (tak jelas). Prinsip ini diguna pakai untuk semua urusan jual beli.
Dalam insurans konvensional, kontrak yang berlaku antara pencarum insurans dengan syarikat insurans ialah kontrak jual beli. Kontrak jual beli yang berlaku itu ialah si pembayar membeli risiko daripada syarikat Insurans dengan membayar setiap bulan. Ini dengan harapan jika berlaku risiko dia akan dapat pampasan. Benda yang dibeli adalah risiko, sedangkan kita memang tau risiko adalah satu perkara abstrak atau subjektif. Risiko inilah yang membuatkan kontrak jual beli insurans tadi tak sah dan haram di sisi Islam.
Maisir Judi
Para ulama yang bersidang memutuskan insurans konvensional mengandungi unsur Judi. Sebagai contoh pelangagan insurans membayar RM 100 setiap bulan dengan harapan apabila terjadi sesuatu ke atasnya, dia akan mendapat RM 100,000. Konsep ini adalah konsep judi. Ini sama seperti orang tikam nombor ekor di Sport TOTO. Dia tikam RM 10 dengan harapan (kalau kena) dia akan dapat sejuta.
Konsep judi ialah sesuatu pembayaran yang sedikit membolehkan kita mendapat hasil yang banyak dengan tidak tahu cara mana yang membolehkan dia mendapat duit yang banyak.
Riba
Riba yang dimaksudkan berlaku di sini ialah contohnya dalam masa setahun Abu membayar RM 1,200 kepada syarikat insuran. Masuk tahun kedua Abu meninggal dunia. Mengikut perjanjian, syarikat insurans perlu membayar pampasan sebanyak RM 100,000. Maka lebihan dari RM 1,200 (100,000 – 1200 = 98,800) dikategorikan sebagai riba oleh ulama’.
Pilihan Yang Ada
Pilihan yang kita ada ialah sistem Takaful. Takaful (dari bahasa Arab) yang mana kata asas dia Kafala bermaksud jamin dan Takaful saling jamin-menjamin. Maknanya setiap orang yang menyertai Takaful, dia memang dah berniat untuk menyertai kumpulan yang sentiasa saling jamin-menjamin. Ia bermaksud jika terjadi sesuatu pada orang dalam kumpulannya dia redha duitnya digunakan sedikit bagi membantu orang yang ditimpa musibah itu.
Dalam sistem Takaful ada satu akaun yang dinamakan Akaun Khas Peserta yang bertindak sebagai Dana Takaful bagi membantu mangsa-mangsa yang ditimpa musibah. Setiap orang yang menjadi peserta Takaful telah bersedia untuk mendermakan atau menyedekahkan sebahagian daripada wang yang dimasukkan setiap bulan ke dalam tabung Akaun Khas Peserta dengan peratusan tertentu melalui konsep muamalat Islam yang dinamakan Tabarru’at (derma atau sedekah kepada yang memerlukan). Maka tidak berlaku kontrak jual beli risiko seperti insurans konvensional. Jika insurans konvensional menggunakan konsep Tabarru’, maka secara automatik ia boleh jadi halal.
Apabila tiada unsur keraguan (gharar) dan dari segi konsep asas dah jelas, maka tiada unsur Riba dan judi dalam Takaful. Memang sudah jelas ada perjanjian atau akad setiap peserta Takaful untuk sama-sama bantu-membantu dan menjamin sesama sendiri. Sekiranya berlaku musibah kepada setiap ahli peserta yang membuat perjanjian, Pihak Takaful Nasional atau Takaful Malaysia hanya bertindak sebagai orang tengah atau pihak yang menguruskan proses pengumpulan wang derma atau sedekah para peserta yg berada dalam Akaun Khas Peserta.
Satu lagi perkara yang agak penting ialah berkenaan dengan pelaburan yang dilakukan oleh syarikat insurans yg kita sertai. Ada insurans konvensional yang melabur dalam perniagaan arak untuk mendapat keuntungan. Sebagai contoh Great Eastern, ada melabur ke kaunter saham Carlbergs. Walau bukan semua dilaburkan ke kaunter arak tetapi jelas ia bercampur antara kaunter haram dan halal.
Majlis Pengawasan Syariah
Perlu ditegaskan di sini, syarikat insurans Islam seperti Takaful Malaysia dan Takaful Nasional, mereka mempunyai satu badan khas untuk memantau perlaburan dan perjalanan pengurusan syarikat Takaful itu. Ini supaya mereka tidak lari daripada syariat Allah. Takaful Nasional contohnya, pengerusi Majlis Pengawasan Syariahnya ialah Dato Hj Harussani bin Zakaria, Mufti Perak Darul Ridzuan. Majlis ini juga dianggotai oleh beberapa tokoh lain yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang khususnya ilmu agama dan muamalat Islam.
Dalam Takaful Nasional ade 3 peringkat Majlis Pengawasan Syariah yang membuat pemantauan ke atas segala pelaburan yang dibuat oleh Takaful:
- Majlis Pengawasan Syariah Takaful Nasional
- Majlis Pengawasan Syariah BSKL
- Majlis Pengawasan Syariah Bank Negara Malaysia
Katakan Takaful melabur di kaunter arak (Tiger, Carlberg dll) tetapi terlepas daripada pemantauan atau pengetahun Majlis Pengawasan Syariah Takaful, Takaful mesti melalui pemantauan MPS BSKL pula. Jika MPS BSKL terlepas pandang juga, dia akan dipantau pula oleh MPS Bank Negara Malaysia. Tiada sesiapun boleh terlepas daripada MPS Bank Negara sama ada syarikat insurans atau pun bank-bank di seluruh Malaysia. Bank Negara Malaysia bertanggungjawab memantau semua aktiviti dan perjalanan institusi kewangan, perbankan dan insurans di Malaysia. Jika MPS Bank Negara mendapati Takaful Nasional melabur di kaunter arak, maka lesen Takaful akan ditarik balik dan tidak boleh menjalankan perniagaan insurans sampai bila bila.
Majlis seperti ini tiada dalam syarikat insurans konvensional. Pelaburannya ke mana, Wallahua’lam (hanya Allah yang tahu). Begitu juga dengan pelaburan ASN, ASB dan lain-lain, pelaburannya memang terlibat dengan kaunter haram (kaunter arak dan judi). Walaupun memang ada kaunter halal tetapi peratus ke arah yang haram lebih tinggi. Adalah dinasihatkan kepada sesiapa yang belum melabur lagi lebih baik tidak melabur dan sesiapa yang sudah melabur dinasihatkan mengeluarkan pelaburannya. Melainkan kalau memang ada niat nak sumbangkan modal ke arah perniagaan yang haram.
Perlu Memilih
Begitu juga dari aspek perbankan. Untuk pinjaman perumahan atau kereta, carilah bank yang keislaman sistemnya. Sekarang ini sudah ada Bank Islam sendiri atau bank-bank konvensional lain yang membuat sistem pinjaman secara Islam. Pilihan sudah ada, keputusan di tangan anda.
Walau bagaimanapun, mungkin ramai yang kurang atau tak berminat pun nak masuk Insurans Hayat ataupun Takaful Keluarga. Tetapi setidak-tidaknya kita semua mesti ingin memiliki kenderaan sendiri seperti motor dan kereta. Untuk insurans kenderaan pilihlih yang memiliki sistem Islam. Takaful Malaysia, Takaful Nasional dan Takaful Ikhlas ada menyediakan Takaful Am untuk kenderaan. Jika insurans sedia ada memang dah konvensional, teruskan. Namun apabila sampai masa nak perbaharuinya, carilah insurans yang Islamik. Nanti apabila kemalangan (minta dijauhkan) kenderaan kita menggunakan insurans yang halal di sisi Allah.
Sekarang ini terpulang atas diri masing-masing, kalau kita sayangkan Islam dan Iman yang ada pada diri kita maka kita akan pastikan diri kita tidak terlibat langsung dengan perkara-perkara haram atau pun syubhat. Ini perlu dipastikan dari semua aspek kehidupan, sama ada ibadah, makanan, pakaian, harta pencarian, pergaulan, politik pemerintahan, undang-undang, sistem perbankan dan insuran serta banyak lagi. Mungkin kita tidak elak kesemuanya sekali, sebagai contoh PTPTN tetapi setakat yang kita mampu cuba elakkan sedaya upaya. Allah tidak memandang kepada hasil sesuatu tetapi Allah memandang kepada usaha kita yang bersungguh-sungguh untuk membersihkan diri masing masing dari seluruh aspek.
Penutup
Sebagai kata penutup renung perbandingan mudah ini. Kalau Bank konvensional terima pakai Islam, kenapa perlu ada system perbankan Islam macam Bank Islam dan Bank Muamalat dan Bank Rakyat?Kalau sistem insurans konvensional Islam terima, kenapa perlu ada system Takaful di Malaysia? Alhamdulillah ada golongan yang prihatin dan berusaha kuat mewujudkannya.
Jadilah seorang Islam yang benar-benar beriman kepada Allah dan agamanya. Juga sentiasa sensitif dengan segala perkara yang melibatkan kehidupan kita seharian supaya iman dan amal ibadah kita tidak dicemari oleh unsur-unsur yg Allah murka dan larang. Ingat, kehidupan kita bukan sekadar atas dunia ini. Nun jauh di sana, akhirat bakal menanti cuma tak tau bila masa. Sampai masa takkan sorang pun terlepas. Setiap saat dan setiap perlakuan kita akan disoal oleh Allah di akhirat kelak.
Mudah-mudahan dosa-dosa kita diampunkan oleh Allah dan Allah sentiasa menaungi kita dengan rahmat dan redha-Nya.
Rencana ini disumbang oleh saudara M. Hazif Azlan Ziaudin Ahamed (http://hazifazlan.blogspot.com/) dan disunting serta diringkaskan oleh Hamim bin Nasoha untuk disesuaikan dengan blog.