Sunday 31 July 2011

Piala Malaysia : Perak mengambil tiga penyerang luar

Walaupun persaingan Piala Malaysia hanya akan bermula pada bulan September akan datang tetapi persiapan Perak semakin rancak.
Para pemain skuad Seladang sedang menjalani latihan intensif di bawah pengawasan jurulatih, Norizan Bakar setiap hari.


Ketua pasukan, Shahrulnizam Mustapha berkata, mereka perlu memperbaiki segala kelemahan agar persembahan Perak lebih mantap berbanding Liga Super lalu.
Selain itu katanya, mereka perlu meningkatkan lagi persefahaman sesama sendiri agar permainan Perak lebih teratur.
“Kami berazam mencatat keputusan yang lebih baik dalam persaingan Piala Malaysia kelak,” jelas ketua pasukan itu.
Sebelum ini, Perak hanya berjaya melangkah ke peringkat suku akhir Piala FA dan menduduki tangga keenam Liga Super.
Mengenai tiga pemain baru, Shahrulnizam berharap ketiga-tiga pemain berkenaan mampu memperkuatkan jentera serangan Perak kelak.
Perak dijangka menggunakan seorang penyerang dari Perlis, Harimau Muda dan Universiti Sains Malaysia ( USM ) dalam persaingan Piala Malaysia akan datang.
Skuad bimbingan Norizan itu menghadapi masalah ketumpulan jentera serangan apabila penyerang utamanya, Akmal Rizal Ahmad Rakhli mengalami kecederaan berpanjangan.
Selain itu, kehadiran beberapa penyerang muda gagal memberi persembahan yang mantap kerana kurang berpengalaman.
Oleh itu, pihak pengurusan skuad Seladang mengambil keputusan mengambil tiga pemain daripada negeri lain bagi memperkemaskan jentera serangan Perak
Walau bagaimanapun, Shahrulnizam enggan mendedahkan nama pemain-pemain berkenaan dengan menyatakan bahawa pihak pengurusan akan mengumumnya kelak.
“ Ketiga-tiga pemain itu sedang berusaha membentuk persefahaman mantap dengan pemain-pemain lain,” katanya.
Beliau percaya barisan serangan Perak akan lebih menyengat dengan kehadiran ketiga-tiga pemain tersebut.

sumber :: Perak News

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...