Thursday 25 August 2011

Debaran lima pemain Perak menanti rayuan

Debaran lima pemain Perak menanti rayuan
Pegawai Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) dan penyokong Kejor Yeop kejor berdebar menanti keputusan Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia ( FAM ) ke atas lima tonggak utama Perak yang digantung pada 18 Julai lalu.
Jawatankuasa Rayuan FAM itu dijangka membincangkan rayuan yang dikemukakan oleh kelima-lima pemain Perak dan Pafa pada hari Jumaat ini.
Seberang keputusan daripada jawatankuasa tersebut akan memberi impak yang besar ke atas skuad Seladang bagi menghadapi kempen Piala Malaysia yang bermula 6 September akan datang.
Skuad bimbingan Norizan Bakar itu akan memulakan kempennya bertandang ke Kota Kinabalu untuk berdepan Sabah pada 6 September nanti.
Perak diletakkan dalam kumpulan A bersama-sama Sabah, Kedah dan Johor.
Sebelum ini, ketua pasukan Perak, Shahrulnizam Mustapha dan penjaring terbanyak, Akmal Rizal Ahmad Rakhli bersama-sama penjaga gol utama, Mohd Nasril Nourdin, tonggak utama bahagian tengah, Mohd Syazwan Roslan dan Azmeer Yusoff digantung tujuh perlawanan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM pada 18 Julai lalu.
Selain itu, Shahrulnizam, Akmal Rizal, Nasril, Mohd Syazwan dan Azmeer turut didenda sebanyak RM5,000.
Kelima-lima tonggak utama itu digantung kerana didakwa mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah terhadap pegawai perlawanan selepas perlawanan Liga Super dengan Sabah di Stadium Lumut pada 19 Mei lalu.
Mereka telah digantung empat perlawanan atas kesalahan tersebut.
Namun begitu, hukuman ke atas kelima-lima tonggak utama tersebut ditambah tiga perlawanan lagi kerana tidak mempedulikan surat daripada FAM dan menghina jawatankuasa Tatatertib.
Beberapa pegawai Pafa yang ditemui berkata, Perak perlu bersedia beraksi dengan ketiadaan kelima-lima pemain berkenaan.
Mereka menjangkakan Jawatankuasa Rayuan FAM mungkin mengurangkan hukuman penggantungan dan denda yang dikenakan itu.
“Mustahil jawatankuasa tersebut akan mengenepikan hukuman penggantungan tujuh perlawanan yang dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib,” tambah mereka lagi.
Dalam usaha mengurangkan impak ketiadaan lima tonggak utama tersebut, Perak meminjam tiga pemain luar agar skuad Seladang tetap menyengat.
Perak telah meminjam penjaring terbanyak Universiti Sains Malaysia ( USM ), Mohd Failee Mohd Ghazli bersama-sama pemain Perlis, Mohd Hafiszuan Salehuddin dan pemain Harimau Muda, Muhammad Rafiuddin Roddin bagi kempen Piala Malaysia tahun ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...