Perak menyambar penjaring terbanyak Liga Super
2011, Abdul Hadi Yahya dan tiga lagi pemain bagi memperkuatkan skuad
Seladang musim depan.
Selain penyerang Terengganu itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Perak
(Pafa), Datuk Zainol Fadzi Paharudin mengesahkan skuad Seladang turut
mendapatkan khidmat pertahanan Kedah, V.Thirumurugan, pemain Felda
United, Yong Kuong Yong dan penjaga gol kebangsaan, Mohd. Farizal
Marlias.
Abdul Hadi yang menjaringkan 24 gol pada musim 2011 akan digandingkan dengan penyerang lincah, Mohd. Failee Ghazali.
“Kehadiran keempat-empat pemain itu merupakan permulaan Perak untuk
membentuk sebuah skuad yang lebih mantap berbanding musim lalu,” jelas
Zainol selepas Kongres Pafa Ke-54 di sini, semalam.
Perak yang dibimbing Norizan Bakar menduduki tangga keempat Liga
Super, posisi yang gagal menepati cita-cita Pafa yang menyasarkan
kedudukan tiga teratas liga.
Sebelum ini, Perak menggugurkan 13 pemain termasuk bekas penyerang
kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan penyerang berbisa, Muhammad
Shafiq Jamal.
Difahamkan beberapa pemain ternama yang sedang beraksi dalam separuh akhir Piala Malaysia turut menjadi perhatian Perak.
Dalam pada itu Pafa mempelawa mana-mana bekas pemain Liga Super dan
Piala Presiden dari negeri lain untuk menjalani ujian pemilihan pasukan
Perak pada 20, 21, 27 dan 28 Oktober ini.
Mengenai kedudukan ketua jurulatih, Zainol berkata, Pafa sedang menimbangkan beberapa calon tempatan dan luar negeri.
Sebelum ini, jurulatih dari Korea, Jang Jung menjadi ketua jurulatih dalam aksi Piala Malaysia menggantikan Norizan Bakar.
Sementara itu, dalam Kongres Pafa Ke-54, Ahli Parlimen Parit, Mohd.
Nizar Zakaria bersama-sama dua muka baru, Presiden Persatuan Bola Sepak
Melayu Perak (PBMP), Ishsam Shahruddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri
(Adun) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat memenangi jawatan Naib Presiden
Pafa tanpa bertanding .
Seorang lagi calon, Khairuddin Ahmad yang juga penyandang jawatan
tersebut menarik diri pada saat-saat akhir kerana ingin memberi laluan
kepada calon yang lebih muda.
Zainol dan Khairul Azwan Harun memenangi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tanpa bertanding.
Artikel asal di Utusan Malaysia.
No comments:
Post a Comment