Tuesday, 2 August 2011

Gaji Sneijder masih buntu

Bintang Inter tak mahu kurang daripada RM916,000 seminggu
 


LONDON: Wesley Sneijder akan menjadi pemain Manchester United minggu ini, jika dia menerima penstrukturan semula tawaran gaji untuk berpindah ke kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Kelab pemain Belanda itu, Inter Milan, secara prinsipnya sudah membuka laluan untuk urus niaga perpindahan bernilai lebih 30 juta pound (RM144.7 juta) dengan menerima tawaran rasmi United hujung minggu lalu.
Mereka sudah bersedia memberikan kebenaran kepada Sneijder untuk berunding dengan pegawai di Old Trafford, dan akhbar difahamkan rundingan itu berlangsung minggu ini.

Satu-satunya halangan untuk mencapai apa yang pastinya bakal menjadi urus niaga terbesar bola sepak dunia musim panas ini ialah permintaan gaji pemain itu, jika mengambil kira status cukai menarik yang dinikmatinya ketika bermain di Itali.


Sneijder tidak mahu menerima gaji lebih rendah daripada apa yang diterimanya sekarang, yang bakal menyaksikannya memperoleh hampir 190,000 pound (RM916,660) seminggu di EPL – yang jelas di luar lingkungan struktur gaji United.


Namun kelab Inggeris itu bersedia berunding mengenai skala gaji yang bakal menyaksikan gaji asas yang tinggi ditambah dengan bonus banyak serta yuran sepanjang tempoh kontrak.

Itu bakal menyaksikan nilai yang hampir menyamai kontrak pemain itu bersama Inter dan jika mengambil kira jumlah pendapatan menerusi hak imej, persetujuan boleh dicapai.

Kedua-dua kelab berhati-hati mengenai situasi itu kelmarin, dengan pegawai Inter mengesahkan ada tawaran rasmi dari England dan pengurus United, Sir Alex Ferguson berkata pemain itu perlu memikirkan tawaran dikemukakan kelabnya. – Agensi

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...