Saturday, 26 November 2011

Asal Usul Pekan Tambun , Ipoh

Walaupun Tambun merupakan sebuah pekan kecil berhampiran Ipoh, pekan ini mempunyai sejarah dan asal usul yang menarik serta berkaitan rapat dengan industri perlombongan bijih timah dan penanaman kopi di daerah Kinta. Hasil penyelidikan ringkas, kami menemui dua sumber sejarah yang berkaitan dengan kewujudan pekan Tambun ini.

Menurut sumber pertama, Tambun telah dibuka dalam... tahun 1885 oleh Tok Panjang Osman atau lebih dikenali sebagai Tok Norman. Beliau telah dianugerahkan oleh Sultan Perak untuk mengusahakan lombong bijih timah di Ulu Kinta semasa itu. Nama 'Tambun' telah berasal daripada panggilan orang Asli yang menunjukkan tempat longgokan bijih timah. Oleh itu, Tok Norman telah menamakan tempat itu Tambun Hulu. Kini kawasan tersebut terletak di Bandar Baru Putra). Dari sini, Tok Norman mengembangkan perlombongannya ke Tambun Tengah (Batu 5 Tambun kini) dan Tambun Hilir (Pekan Tambun sekarang). Semasa itu, pekan Tambun sekarang ini dikenali sebagai Kampung Rotan Segar.

Menurut sumber kedua, Tambun telah muncul ekoran perusahaan lombong bijih timah oleh Toh Lembang atau Kulub Limbang iaitu seorang saudagar kelian. Oleh itu, tempat ini telah dinamakan 'Tambun' yang bererti 'saudagar kelian'.

Perkembangan Tambun ini telah bermula tahun 1892 dengan wujudnya beberapa rumah kayu. Ini dituruti dengan pembinaan balai polis pada tahun 1900 dan Sekolah Melayu pada tahun 1895. Pembukaan ladang kopi telah merancakkan lagi pembangunan Tambun pada awal abad ke-20. Ladang kopi telah dibuka secara besar-besaran sehingga kawasan bukit terletaknya ladang ini dikenali sebagai 'Kopisan' yang bermakna 'bukit kopi' dalam bahasa Cina. Namun kemudiannya, ladang kopi ini dipindahkan ke Gopeng bagi membolehkan lombong bijih timah dibuka oleh Leong Fee dan F.J.B.Dykes.

Tambun amat terkenal dengan 'limau tambun'. Limau Tambun ini sebenarnya telah mula ditanam di sini dalam tahun 1880 oleh Tok Limbang dengan bantuan pekerja Jawa. Benih-benih limau ini dibawa dari Kuala Kangsar. Bagi orang Cina, mereka dikatakan menanam limau ini sebagai ganti buah limau untuk perayaan Tahun Baru China.

Begitulah serba sedikit sejarah yang tersimpan di pekan kecil Tambun ini. Hari Tambun terus meningkat maju sebagai pusat pelancongan dan komersial. Limau Tambun masih lagi ditanam di sini dan menjadi ikon pekan ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...