Penyakit asma adalah penyakit yang sangat sinonim di negara kita. Ia berlaku pada pelbagai lapisan masyarakat. Dari yang sekecil-sekecil budak sehingga setua-setua manusia. Penyakit asma merupakan keradangan di bahagian saluran pernafasan yang menyebabkan berlakunya pengecutan saluran pernafasan. Walaubagaimanapun ia tidak bersifat kekal kerana ia boleh dikembalikan kepada asal atau nama lainnya ‘reversible’.
Simptom-simptom
- Seringkali pesakit akan mengalami sesak nafas dan selalunya ia berlaku disebabkan rangsangan luar. Sekiranya ia berlaku kepada bayi, anda akan lihat pernafasannya menjadi pantas.
- Sesak nafas juga sering disusuli dengan sejenis bunyi yang digelar ‘wheezing’. Ia merupakan bunyi seperti wisel yang berada di anak tekak dan selalunya berlaku apabila mereka menghembuskan nafas berbanding menarik nafas.
- Pada waktu malam, mereka akan sering batuk-batuk. Cuaca yang sejuk merangsang batuk tersebut. Batuk tersebut digambarkan batuk yang berkahak.
- Kadang-kadang mereka juga akan mengadu sakit dada akibat kesukaran untuk bernafas.
Bagaimana serangan asma boleh berlaku? Apakah punca-puncanya?
Serangan asma selalunya berlaku disebabkan rangsangan. Sama ada rangsangan dari luar mahupun dalam.
- Rangsangan alergen. Contoh-contohnya adalah seperti habuk, lipas, debu tungau dan sebagainya. Anda perlu lihat di kawasan rumah anda sama ada mempunyai karpet yang berdebu atau tingkap anda sering terbuka yang menyebabkan debu-debu luar sering masuk ke dalam rumah.
- Bulu binatang peliharaan. Rata-rata ramai yang memelihara kucing di mana bulu binatang-binatang ini sering merangsang serangan asma. Sekiranya keluarga anda mempunyai sejarah alergi, anda tidak digalakkan untuk membela binatang peliharaan yang berbulu seperti kucing.
- Pencemaran udara. Pencemaran udara tidak kira mahupun luar ataupun dalam boleh merangsang serangan penyakit asma. Sebab itu kalau boleh pastikan tingkap ditutup. Kadang-kadang ada juga di rumah berdekatan dengan kerja-kerja pembangunan yang membawa pencemaran udara ke dalam rumah. Di ulang, pastikan tingkap anda ditutup sekiranya rumah anda mudah terdedah dengan habuk mahupun segala bentuk pencemaran udara di luar.
- Cuaca. Cuaca juga tidak kurang penting dalam memainkan peranan dalam merangsang serangan asma. Selalu asma dikaitkan dengan cuaca sejuk. Terutamanya di waktu malam dan di awal pagi.
- Senaman. Senaman sememangnya baik untuk kesihatan, tetapi terdapat juga bukti yang menunjukkan serangan asma boleh berlaku ketika bersenam. Ia digelar ‘exercise-induced asthma’. Tetapi ia tidak bermakna anda tidak boleh bersenam. Anda masih lagi boleh bersenam sekiranya anda tahu bagaimana untuk mengawal asma anda.
Siapa yang selalu berisiko untuk mendapat penyakit asma?
Penyakit asma boleh berlaku pada semua peringkat umur. Tetapi seringkali asma ini berlaku ketika kecil lagi. Orang yang berisiko tinggi untuk mendapat asma ialah keluarga yang mempunyai sejarah penyakit asma mahupun alergi. Sekiranya terdapat keluarga anda yang alergi kepada makanan laut misalnya, ahli keluarga anda juga turut berpotensi untuk menghidap asma. Sejarah ibu-bapa yang mempunyai asma meningkatkan kepada 3 hingga 6 kali ganda untuk anak menghidapi asma. Dari segi jantina, ia sering berlaku kepada lelaki ketika kanak-kanak.
Untuk bercerita tentang asma, subjek ini terlalu luas dan dalam. Banyak lagi yang boleh menyebabkan berlakunya penyakit asma terutama ketika dewasa iaitu serangan asma ketika bekerja. Kepada yang mengalami penyakit asma, untuk mengelakkan keadaan asma anda menjadi tidak terkawal, pastikan ada langkah pencegahan seperti yang saya maksudkan di atas iaitu pastikan rumah tidak berhabuk, membela kucing peliharaan dan suhu di rumah tidak terlalu sejuk. Kemudian pastikan ubat yang diberikan oleh doktor anda ikut menurut seperti yang ditetapkan.
Sekiranya ubat tersebut hanya diperlukan ketika serangan gunakan. Dan sekiranya diperlukan pada setiap hari pastikan anda ikut jadual tersebut. Sekiranya keadaan asma anda masih lagi teruk walaupun telah menggunakan ubat yang diberikan, pastikan anda segera ke klinik atau hospital berdekatan untuk mendapatkan bantuan oksigen.
No comments:
Post a Comment