Saturday 21 January 2012

Mudarat mandi malam

ADAKAH ia satu mitos tentang mandi pada waktu malam boleh mendatangkan kemudaratan pada kesihatan? Ramai kalangan masyarakat Malaysia mengatakan amalan sebegini boleh mendatangkan pelbagai masalah kesihatan.
Adakah benar persepsi tentang tabiat mandi pada waktu malam boleh mendatangkan penyakit kronik? Apa kata pakar dalam penjagaan kesihatan tentang isu ini?
Dr. Anies Tan, seorang doktor perubatan di hospital swasta menjelaskan kajian menunjukkan yang mandi bukan sahaja boleh membersihkan badan daripada kotoran tetapi juga boleh menghilangkan stres.
Katanya, mandi memainkan peranan penting dalam mempertingkat sistem imun badan selain mengelak berlakunya penyakit kulit seperti ekzema dan masalah kesihatan lain.
"Kebanyakan penyakit kronik antaranya diabetes, hipertensi, kegagalan buah pinggang dan masalah kardiovaskular muncul daripada kegagalan sistem dalam badan, cara pemakanan dan gaya hidup kita. Tiada bukti yang mengatakan mandi pada waktu malam boleh mendatangkan penyakit-penyakit ini," kata beliau.
Menurut Dr. Tan, air mandian suam boleh membuka liang-liang roma badan dan membantu menghilangkan toksin.
"Mandi dengan air hangat boleh mengurangkan sakit otot dan membantu usus berfungsi dengan baik. Tapi kalau anda sedang mengalami stres, mandi dengan air sejuk boleh membantu.
Tetapi bagaimana dengan isu mandi pada waktu malam?
Kata Dr. Tan, negara ini mempunyai iklim tropika di mana cuacanya adalah panas dan lembab dan oleh itu mandi malam tidak mendatangkan kemudaratan.
"Lainlah kalau anda menghidapi pneumonia dan tinggal di negara yang mempunyai iklim musim sejuk. Mandi malam adalah baik kerana ia membersihkan badan daripada bakteria dan virus.
"Amalan mandi adalah penting bagi gaya hidup sihat. Di hospital juga, pesakit yang boleh berjalan dan boleh mandi, memang kami galakkan mandi". Kata beliau, kegagalan mandi yang secukupnya boleh mendatangkan penyakit kulit dan juga bau badan.
"Bakteria boleh bertindak pada peluh dan ini membangkitkan bau badan," katanya sambil menambah bahawa kesegaran mandi membuatkan badan lebih sihat, selain membersihkan bakteria daripada permukaan kulit.
"Pembersihan kulit berlaku bila kita mandi. Lebih baik lagi jika kita menggunakan sabun antibakteria," katanya dan menerangkan prinsip yang sama pada amalan membasuh tangan.
"Ia satu amalan kebersihan yang baik bila kita kerap basuh tangan terutama sebelum makan, sama juga bila kita mandi walaupun pada waktu malam," kata beliau.

Jadi, adakah mandi malam sememangnya satu amalan tidak sihat?

"Sudah tentu tidak. Ia bukan memudaratkan bagi orang yang sihat".  Mandi menggunakan air hangat akan membuka liang roma dan membersihkan badan dengan mengeluarkan toksin dan memberikan kesan yang segar kepada seseorang itu.
"Mandi juga membuatkan anda dapat tidur dengan lena dan membantu mengurangkan insomnia (susah untuk tidur)," .
Mandi adalah satu amalan semula jadi bagi memberi regangan kepada minda dan badan.
Seseorang itu bukan hanya dapat tidur lena tetapi juga tidur dengan lebih lama jika beliau mandi sebelum tidur.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...