Monday 16 July 2012

Ipoh Timor boleh ditawan

IPOH 15 Julai - Penasihat DAP, Lim Kit Siang bakal menghadapi tentangan hebat untuk mempertahankan kerusi Parlimen Ipoh Timor pada Pilihan Raya Umum Ke-13 berikutan terdapat pertambahan sokongan pengundi Cina di kawasan itu terhadap Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, walaupun kerusi Parlimen Ipoh Timor dianggap sebagai kubu kuat DAP, tidak mustahil ia boleh dirampas oleh BN seperti yang pernah berlaku di kerusi Parlimen Marang, Terengganu sebelum ini yang disifatkan kubu kuat Pas.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, dalam politik tidak timbul soal mengalah sebelum berjuang walaupun sesebuah lokaliti itu diletakkan sebagai kawasan hitam.

"Dalam politik, kita harus berhadapan sesiapa sahaja dengan nawaitu memenanginya. Tidak bererti kawasan hitam, peluang kita gelap.

"Pernah sebelum ini Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kecundang dalam mempertahankan kerusi Parlimen Marang dan senario sedemikian tidak mustahil berulang," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Ipoh Timor di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timur, Datuk Azian Osman, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk. R. Ganesan dan Ketua MCA Ipoh Timor, Datuk Thong Fah Chong.

Sementara itu, Azian berkata, tahap sokongan pengundi Cina di Ipoh Timor kepada BN semakin meningkat selepas yakin dengan pembaharuan yang dilakukan kerajaan BN termasuk program transformasi dan turun padang untuk mendekati bersama semua kaum.

"Pengundi Melayu, insya-Allah tiada masalah. Undi Cina dan India pun meningkat. DAP akan menghadapi satu cabaran cukup kuat dari BN di Parlimen Ipoh Timor.

"Insya-Allah, kalau berlaku sedikit perubahan trend undi dari sahabat kita dari kaum Cina, kita boleh menang. Pada masa ini, memang ada perubahan tetapi perlahan," ujarnya.

Dalam pada itu, Fah Chong pula percaya BN dapat merampas semula sekurang-kurangnya satu atau dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalam Parlimen Ipoh Timor.

Katanya, peluang untuk menawan kerusi Parlimen Ipoh Timor pula bergantung kepada calon yang bakal bertanding mewakili BN di situ.

Beliau juga menyatakan akan menyokong siapa sahaja calon yang diletakkan oleh BN di Parlimen Ipoh Timor termasuk calon Melayu sekiranya calon tersebut boleh menang di kerusi itu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 2008 lalu, BN tewas di kerusi Parlimen Ipoh Timor serta semua tiga kerusi DUN di dalam parlimen itu iaitu DUN Canning, Tebing Tinggi dan Pasir Pinji.

Pengundi di Parlimen Ipoh Timor terdiri daripada 81.07 peratus kaum Cina, Melayu (13.09 peratus), India (5.27 peratus) dan lain-lain 0.57 peratus.

Sumber: utusan malaysia

Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...